Ayat halau jin, doa pendinding diri & doa halau jin – betulkah perlu amalan yang begitu? Bagi mereka yang tahu atau pernah mengalami masalah gangguan jin (makhluk halus), sihir dan saka; akan tanpa berfikir panjang berkata ya, memang perlu. Hanya sebilangan kecil yang akan teragak-agak untuk setuju. Sebabnya ialah masyarakat kita secara amnya yakin bahawa beramal ilmu pendinding akan menyelamatkan diri dan keluarga daripada terkena gangguan jin, sihir dan saka. Persoalannya ialah betulkah demikian? Alternatifnya, kita pilih amalan yang menjamin keselamatan pengamal di dunia dan akhirat. Jom selami fakta sebenar bersama saya! Insya Allah bermanfaat untuk anda.

Sila ambil perhatian bahawa skop pencerahan ini tertumpu kepada:-

  1. ayat merujuk kepada petikan ayat daripada al-Quran
  2. doa merujuk kepada:-
    • sebarang kalimat atau ungkapan selain daripada petikan ayat al-Quran
    • gabungan sebarang doa dengan cebisan ayat al-Quran
    • mentera

Catitan: Ayat dan doa halau jin setan umumnya digunakan oleh perawat, namun ianya juga amat sesuai untuk tujuan pendinding dan pelindung diri daripada segala kejahatan hantu atau jin setan serta juga khianat manusia.

Secara amnya, matlamat utama mereka yang beramal ayat halau jin dan doa pendinding diri ialah untuk mempertahankan diri dan keluarga terhadap berbagai kejahatan daripada:-

  • manusia
  • jin setan – termasuk juga “orang bunian” dan penunggu sesuatu tempat atau kawasan
  • saka
  • sihir

Pada hemat saya, mereka tak berapa berjaya! Alasan kukuhnya ialah ramai yang masih ke sana sini pergi berubat berkaitan dengan masalah ini.

Jika kita perhatikan atau kita buat tinjauan ringkas terhadap mereka yang terkena atau menderita masalah gangguan jin, saka dan sihir; hampir semua mereka adalah di kalangan orang yang beramal ayat atau doa pendinding diri. Ini yang menimbulkan tanda tanya – dah bersedia dengan amal dan doa pelindung diri serta ayat halau jin, kenapa kena juga? Kenapa ada saja orang yang tak puas hati dan bersikap khianat serta berniat jahat kepada pengamal? Hairan, ‘kan? Macam ada yang tak kena tentang perkara ini. Ditinjau dari sudut lain, itu memberi gambaran jelas bahawa suasana di sekeliling pengamal lebih kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan khidmat jin setan. Suasana yang begitu memanglah memaksa setiap keluarga di situ perlu ada ilmu pendinding – itu tidak dapat dinafikan!

Masalahnya, hampir semua mereka yang berilmu itu makin hari makin jadi panas baras dan cepat melenting – walaupun amalan itu ayat al-Quran dan zikir. Mereka itu, jika bersembang sesuatu, lebih-lebih lagi tentang perkara yang berkaitan dengan Islam, nada suara mereka yang asalnya rendah jadi makin meninggi dan kemudiannya kasar seolah-olah macam nak pergi perang – lebih-lebih lagi bila menyebut nama Allah. Wajarkah itu?

Melantunkan perkataan Allah dengan suara tinggi; lebih-lebih lagi bunyi menengking; adalah sikap orang yang lupa dirinya siapa – angkuh macam Iblis dan jahil serta tak faham tentang Islam. Patutkah makhluk bersuara kasar kepada Penciptanya? Kenapa begitu? Jawabannya – itulah kesan ayat dan doa yang diamalkan! Oleh itu, patutkah amalan yang sedemikian diteruskan?

Kesan negatif amalan ayat halau jin, doa pendinding diri & doa halau jin ialah hubungan pengamal dengan orang yang terdekat dan yang selalu berurusan dengannya, terutamanya isteri dan anak-anak – mereka jadi mangsa tengking herdik; malah ada yang hingga sanggup membelasah isteri yang asalnya memang amat disayangi. Kenapa mereka bertukar jadi pemarah dan seterusnya jadi ganas atau sampai pada tahap panas baran melampau? Jika dihayati sedalam-dalamnya, amalanlah yang jadi penyebabnya kerana sebelumnya tidak macam itu!

Dalam Islam, itu perangai dan sikap yang tercela. Allah murka orang yang bersikap begitu! Yang paling tak bagusnya ialah hubungan dengan keluarga makin renggang – pembinaan keluarga bahagia jadi gagal sama sekali! Asalnya beramal untuk jaga kesejahteraan diri dan keluarga, tau-taunya amalan pula yang jadi punca tergugatnya keharmonian rumah tangga. Pelik, ‘kan? Terbalik kuang la pulak!

Sila ambil perhatian bahawa sesuatu amalan yang tidak berjaya membentuk pengamalnya bersikap lebih bertolak ansur, banyak berlembut dan penyayang adalah amalan yang diterajui oleh jin setan atau hantu. Bila diri dan jiwa pengamal telah dikuasai oleh amalannya, dia merasakan bahawa dialah NOMBOR SATU! Biasanya dia bersikap tidak mahu menerima pendapat atau pandangan orang lain – orang lain semua salah, dia seorang saja yang betul!

Masalah yang ini sebenarnya masalah umum kepada semua pengamal ayat atau doa halau jin dan pendinding diri yang berasaskan:-

  • mentera semata-mata
  • mentera atau doa yang ada kalimah atau selawat
  • mentera atau doa yang bercampur dengan ayat suci al-Quran

Ketahuilah bahawa semua ayat dan doa dalam kategori itu berkhadamkan jin setan atau hantu. Dari segi nama memang amat meyakinkan – ayat halau jin, doa pendinding diri atau doa halau jin. Sayangnya, perlaksanaan kerjanya dilakukan oleh jin setan. Mereka itulah yang berperanan membenteng dan menyampaikan hajat pengamal tapi, dalam masa yang sama, jiwa dan fikiran pengamal sentiasa dikuasai oleh mereka – itulah punca yang jadi ganas panas baran keterlaluan tu! Mereka jugalah sebenarnya yang melaga-lagakan pengamal dengan orang – mereka meransang fikiran orang lain supaya timbul rasa tak puas hati dan memusuhi pengamal. Itu kerja mereka dan kita patut sedar tentang kejahatan mereka.

Yang cebisan ayat suci al-Quran atau zikir pula, hampir semua mereka bermasalah yang sama walaupun pengamal seorang yang warak atau tahfiz. Sebabnya begini:-

  1. Amalan diajar oleh orang yang mempelajarinya daripada kitab atau buku
  2. Amalan diajar oleh orang yang hanya mendengar daripada seseorang. Contohnya, dalam majlis ilmu di masjid atau surau, ustaz memberi tahu tiga Qul elok diamalkan – Nabi kita mengamalkan itu. Kita pula mengamalkannya – itulah yang sering terjadi! Kemudiannya terasa nafsu marah sikit demi sikit membentuk dalam diri. Sebabnya ialah kita tidak belajar daripada ustaz berkenaan. Dia hanya memberitahu, kita pula mengamalkannya. Sepatutnya kita jumpa dia dan minta dia ajarkan – barulah kita berguru dengan dia. Itupun dengan syarat dia berguru daripada seseorang. Jika dia mengambil daripada kitab atau buku, masalahlah jadinya!
  3. Amalan melibatkan syarat berpuasa atau pengasingan diri untuk suatu tempoh tertentu
  4. Amalan mensyaratkan supaya menyeru atau berkata assalamu’alaikum kepada wali atau syeikh ataupun khadam ayat
  5. Amalan dipelajari daripada orang yang tak taat kepada Allah – solat 5 waktu & puasa banyak yang terabai ataupun tak buat sama sekali
  6. Amalan dipelajari daripada seorang perokok atau penghisap vapeperokok sentiasa diekori dan didampingi oleh jin setan sebab asap makanan mereka

Sekiranya amalan anda tidak berpunca daripada perkara yang saya senaraikan itu, anda termasuk dalam gulungan orang yang bertuah. Namun begitu, anda masih sedang terdedah kepada masalah dikuasai oleh jin setan. Cuba semak sendiri – jika nada anda berbicara mulanya lembut dan beransur-ansur tinggi atau kasar, lebih-lebih lagi bila berkaitan dengan teguran seseorang terhadap diri anda atau keislaman anda, anda jadi melenting tak tentu pasal. Itu tanda dah ada jin setan dalam badan anda.

Nak tahu sebabnya? Begini… Perasankah anda bahawa lepas membaca ayat atau doa halau jin atau pendinding diri sekian kali, anda terus bangun dan sibuk dengan kegiatan semasa. Kalau adapun, masa nak mula mungkin anda baca a’uzubillah dan bismillah. Sedarkah anda bahawa dalam perkara itu anda bersikap sombong atau angkuh kepada Allah dan membelakangkan Rasul?

Sebagai contoh untuk penjelasan: kita ambil amalan Ayatul Kursi ataupun Ayat Seribu Dinar. Katakan amalan perlu dibuat dua kali sehari – baca 7 kali pagi dan 7 kali malam. Bagi orang yang beriman mungkin dia pilih masa lepas solat Subuh dan Maghrib atau Isya. Habis baca, biasanya akan terus bangun menjalankan tugas atau kegiatan semasa. Terfikirkah anda bahawa dalam hal itu anda hanya bersandar kepada Ayat? Ayat yang anda baca itu statusnya hanyalah makhluk! Di manakah Allah dan Rasul diletakkan dalam perkara itu? Anda baca ayat Allah tapi anda mengabaikan Allah dan Rasulnya! Wajarkah itu? Inilah satu kesilapan besar yang ramai di kalangan kita telah lakukan – beramalkan ilmu tak kena cara dan sambil lewa. Kita ambil mudah saja dan terlepas pandang tentang perkara ini! Oleh kerana itu jugalah ramai di kalangan kita; termasuk juga ustaz dan mereka yang warak atau tahfiz; masih terus bermasalah dengan gangguan jin setan, sihir dan saka. Sepatutnya, mereka terhindar daripada masalah itu kerana mereka telah bersedia dengan bermacam ayat halau jin, doa pendinding diri, doa pelindung diri, doa halau jin dan berbagai ayat atau doa pendinding rumah dan gangguan saka serta sihir.

Oleh hal yang demikian, jika anda rasa amat perlu mengamal sesuatu doa atau ayat halau jin atau pendinding diri, pastikan kaedahnya memohon serta merendah diri kepada Allah dan tidak mengabaikan Rasulnya. Bacaan mestilah dengan nada suara lembut dan perlahan serta penuh tertib. Insya Allah, anda akan diberkati Allah! Jika baca saja jadikan amalan, anda akan mengalami kesan negatifnya seperti yang saya huraikan tadi.

Saya secara peribadi menegaskan bahawa ilmu atau ayat pendinding diri tak perlu diamalkan sama sekali sebab amalan itu menjemput jin setan bermastautin dan berperanan dalam diri kita. Lagipun, jin bukan bagus sangat – tak satupun jin yang berkemampuan dalam semua hal seperti yang kita duga. Serangan jin musuh tetap tembus tak tertangkis oleh jin amalan jika yang datang itu berderajat lebih tinggi – berkemungkinan besar jin amalan lari meninggalkan pengamal. Nak buat apa ilmu yang begitu. Lagipun, jin setan telah dikutuk oleh Allah, kenapa kita nak berbaik dan menjadikan mereka pengawal diri? Memang dalam hal amalan, kita tidak membela atau menjemput mereka bertugas tetapi atas kesilapan kita mereka berpeluang menyelinap masuk badan kita. Jin setan memanglah suka sangat kalau kita beri peluang mereka berperanan – tak dijemputpun masuk, tambahan pula dipersilakan dengan teratur!

Yang terbaiknya ialah anda amalkan membaca al-Quran berterusan setiap hari, biarpun setengah muka setiap kali dan ada masa sambung lagi – satu huruf disediakan oleh Allah satu pahala. Rugi besar jika tak rebut peluang ini. Pasang niat supaya selamat di dunia dan akhirat, tutup dengan selawat. Bagusnya ialah anda didekati oleh malaikat sewaktu anda membaca. Dengan cara ini, anda sesungguhnya sedang mendekatkan diri kepada Allah. Bila anda terbuai dengan kebiasaan membaca al-Quran, masalah gangguan jin setan, saka dan sihir akan makin pudar dan lenyap. Anda akan disukai oleh ramai orang – selesai masalah musuh dan orang tak puas hati, insya Allah!

Satu perkara yang anda patut tahu ialah jika anda sedang bermasalah gangguan jin setan (juga sihir atau saka), segeralah pergi berubat ke perawat yang mahir. Beramal sesuatu ayat atau doa pendinding diri atau ayat halau jin tak akan berjaya mengusir jin setan yang bersemadi di dalam tubuh badan anda itu. Sebabnya, mereka (jin setan itu) beransur-ansur jadi kebal dengan amalan anda. Jika anda lipat gandakan amalanpun, paling-paling mereka jadi pengsan atau terpelanting keluar waktu itu saja. Bila anda selesai, mereka akan masuk semula. Jika teringin nak berubat dengan kami, sila ke menu Telifon Kami.

Semuga penjelasan saya tentang amalan ayat halau jin, doa pendinding diri & doa halau jin ada manfaat untuk anda! Wallahu a’lam.