Apa itu saka – ini suatu pertanyaan khusus tentang perkara misteri yang ramai di kalangan kita macam faham sangat tapi sebenarnya masih samar-samar. Tak kurang juga yang masih tertanya-tanya dalam diri apa itu saka – memang tahu itu berkaitan dengan hantu tapi apa dan bagaimana ianya memainkan peranan, entahlah… Penanggung masalah ini sangat tidak bernasib baik kerana ianya menimbulkan gangguan emosi dan kesihatan secara keseluruhan – doktor tak dapat nak kesan, telan ubatpun tak berkesan juga. Malang sungguh mereka yang bersaka keturunan. Ada juga yang terpaksa menelan ubat penenang akibat dah tak tahan menanggung gangguan melampau daripada saka keturunannya – nasihat saya, elakkan ubat itu sebab ianya merosak sistem saraf. Kesihatan tubuh badan anda akan beransur jadi cacat dalam masa yang agak singkat. Kerosakan saraf yang ini kami tak boleh nak pulihkan – pernah cuba tapi tak berjaya, yang lain insya Allah.

Asal Usul Saka – Pendamping

Ceritanya bermula daripada tok nenek atau nenek moyang kita ketika zamannya. Keperitan keadaan dan kehidupan semasa ketika itu telah memerangkap mereka untuk bersahabat dengan hantu & jembalang atau makhluk halus; ringkasnya jin setan. Hantu itu dipelihara dan dijadikan kawan atau pendamping ataupun khadam untuk melakukan sesuatu maksud ataupun kerja tertentu. Sewaktu mengikat janji, samada melalui pertapaan ataupun upacara pemujaan, hantu yang terpilih dan dijadikan pendamping itu semestinya yang bertaraf dan berkemampuan luar biasa di kalangan jin setan yang ada di situ ketika itu. Antara gulungan yang amat dihajati oleh mereka ketika itu ialah jin setan yang boleh memberikan kelebihan untuk:-

  • hebat
  • kebal
  • kuat
  • jadi bomoh atau perawat
  • lari laju
  • melompat jauh atau tinggi atau meloncat dari pokok ke pokok
  • memanggil angin atau ribut
  • membuat harta atau kaya
  • mempertahankan diri daripada kejahatan, baik yang nyata maupun yang maya
  • menahan hujan
  • mencuri harta orang
  • mengetahui sesuatu secara ghaib, baik yang telah berlaku ataupun yang akan terjadi
  • menundukkan orang atau lawan
  • menyakit atau membunuh musuh
  • pelaris berniaga
  • pemanis supaya sentiasa nampak cantik dan menarik
  • tahan lasak
  • terkenal dan disanjung

Perlu diketahui bahawa nenek moyang yang membuat perjanjian asal dengan jin setan itu biasanya memiliki lebih daripada satu jenis pendamping kerana keperluan semasa ketika itu. Contohnya, satu untuk berladang, satu untuk menangkap ikan dan satu lagi untuk mempertahankan diri ketika diserang oleh musuh. Untuk perbomohan pula, satu pihak untuk perubatan, satu lagi untuk mengawal orang atau pesakit dan satu lagi untuk pendinding. Untuk perang pula, satu supaya kuat dan kebal, satu supaya musuh takut dan gerun, satu lagi supaya berani dalam semua hal.

Jenis-jenis Pendamping

Untuk mendalami apa itu saka, kita perlu tahu tentang jenis-jenis hantu & jembalang yang dijadikan pendamping atau khadam tersayang oleh mereka ketika zamannya. Sebilangan besar jenis-jenis hantu & jembalangnya adalah seperti berikut ini:-

  1. hantu air – lubuk, paya, sungai dan tasik
  2. hantu angin (boleh lari laju atau menerbangkan sesuatu ke tempat lain)
  3. hantu bangunan tinggal
  4. hantu batu
  5. hantu busut
  6. hantu gua
  7. hantu gunung
  8. hantu hutan termasuk hantu tinggi (boleh meloncat pantas ke tempat tinggi atau melompat turun dari tempat tinggi), bajang (biasanya untuk sihir), orang bunian dan hantu untuk berladang
  9. hantu jenis boleh bergayut di dahan pokok – ini jenis hantu raya
  10. hantu kubur (biasanya untuk sihir)
  11. hantu laut – sangat membantu untuk pelayaran dan menangkap ikan
  12. hantu pantai
  13. hantu pokok
  14. hantu tempat-tempat berpuaka
  15. hantu yang berterbangan di udara seperti penanggal dan lang suir (lang suyo)
  16. jembalang jenis binatang buas
  17. jembalang tanah

Sesetengah pendamping itu, ada yang berkembar dengan benda-benda seperti senjata, tongkat, permata, perkakas hiasan (terbuat daripada kayu, buluh atau logam), pakaian berwarna tertentu (biasanya kuning atau hitam – ada juga biru, hijau dan merah keemasan), gobek, kacip dan alat penyucuk sanggul.

Apa itu saka

Sebaik saja pembela asal pendamping itu meninggal dunia, semua hantu dan jembalang kesayangannya, juga zuriat hantu-hantu itu, akan berpindah ke tuan baru. Mereka yang terpilih di kalangan zuriat keturunan tuan asal, yakni calon pewaris, akan dihantui dengan berbagai gangguan dan tekanan jiwa supaya sanggup menerima dan menurut serta patuh kepada syarat perjanjian asal seperti yang dibuat dengan tuan asal. Dari segi pewaris, hantu-hantu itulah yang digelar SAKA. Jadi, maksud saka yang sebenarnya merujuk kepada saka keturunan. Peranannya serupa, malah ada yang mahu mengajar sesuatu ilmu dalam mimpi atau memberitahu sesuatu yang diperlukan.

Ringkasnya, saka ialah makhluk halus atau hantu jembalang (termasuk juga zuriat keturunan hantu dan jembalang yang asal) yang berpindah tuan ke kita sebagai pewaris yang ada hubungan darah dengan tuan asal hantu jembalang itu – itulah jin dan setan yang berperanan sebagai saka bagi kita. Itulah saka keturunan yang menimbulkan banyak masalah jika tak akur dengan kehendak mereka. Saka boleh menempat ke tuan baru sesukanya walaupun pembelanya masih hidup.

Jenis-jenis Saka

Saka sebenarnya banyak macam, sesuai dengan tugas yang diperlukan oleh tuan asal hantu-hantu saka berkenaan. Berikut ini ialah jenis-jenis saka yang dibangga-banggakan oleh pembela saka sesuai dengan peranan setiap satunya, walaupun merimaskan pembela dalam banyak perkara:-

  • saka beruang
  • saka bidan
  • saka buaya
  • saka buaya putih
  • saka hantu raya
  • saka harimau atau saka rimau
  • saka kingkong atau orang hutan – ini hantu raya kelas 1
  • saka kongkang
  • saka mawas
  • saka monyet
  • saka naga
  • saka nenek kebayan
  • saka orang asli
  • saka panglima
  • saka pelesit
  • saka penanggal
  • saka polong
  • saka pontianak
  • saka puteri
  • saka raja atau putera
  • saka serigala
  • saka silat
  • saka tok kong – hindu, cina, siam atau budha
  • saka ular

Peranan saka-saka itu ada yang serupa. Umumnya berbeza. Kita sebagai pewaris tak boleh nak memilih jenis yang kita mahu sebab kita dicari. Lain halnya dengan nenek moyang kita – mereka tuan pertama, mereka yang cari dan mereka yang pilih jenis apa yang mereka mahu. Kita terima saja jika sanggup.

Kerenah Saka

Yang sanggup menerima sakanya, saka peliharaan itu perlu diberi jamuan setiap suatu selang masa tertentu – misalnya setahun sekali. Kebanyakannya pula, pembela perlu ada ancak dekat dengan rumah – biasanya di belakang rumah. Ketika upacara berjamu, ada jenis jamuan tertentu yang perlu diletak atas bumi atau atas pelantar tinggi dan juga yang dihantar ke paya atau dihanyut ke sungai atau ke laut.

Ada sesetengah saka itu pula, perlu ada waris yang sanggup menjadi tuannya ketika pembelanya sedang nazak – selagi tiada penyanggup, nazaknya berterusan biarpun kulit dan dagingnya mula reput – tak mati-mati! Sebaik saja ada waris yang bersedia, nyawanyapun habis – pelik ‘kan?! Yang lain pula, ada yang perlu dibuka atap dan diletakkan sebutir tanah atau ranting kayu mati di dadanya, baru dia meninggal dunia. Ini masih ada diwarisi hingga sekarang tapi terlalu kecil bilangannya.

Kebanyakannya pula, bila pembelanya meninggal dunia, hampir semua zuriat keturunannya akan terus diekori oleh saka dan zuriat saka berkenaan. Mana yang bersemangat lemah (yakni aura pertahanan diri yang menyelaputi tubuh badannya tipis), bila ada peluang, mereka (yakni saka dan zuriat mereka) akan terus menyelinap masuk dan menetap dalam badan mangsanya (zuriat yang bakal mewarisi saka). Sebagaimana yang disenaraikan tadi, saka bermacam jenis. Itu jugalah sebabnya, yang ada saka, bila dia tak sedar atau “menurun”, dia akan bertingkah laku lebih daripada satu peribadi – antaranya sekejap mengaum, sekejap mengeleduk, sekejap mengilai, sekejap tergaru-garu, sekejap menggeliat, sekejap berlagak samseng, sekejap bersikap warak, sekejap sendawa, sekejap terkuap-kuap, sekejap gagap, sekejap bongkok macam bertongkat dan berbagai lagi.

Saka itu bila sukakan seseorang pewaris, orang itu akan dihinggapinya dan mula dibebankan dengan berbagai gangguan dan tekanan; baik dari segi emosi dan fikiran, maupun kesihatan; supaya mahu tunduk dengan berbagai kerenah sebagaimana perjanjian asal. Dia akan mengalami tekanan perasaan melampau sehingga jadi serba tak kena dan gelisah tak tentu pasal – biasanya bertukar jadi murung dan selalu tak sefaham dengan orang lain. Kesannya ialah semua kerja tergugat dan kesihatan juga jadi kian merosot. Ini akan terjadi walaupun yang punya diri tak ambil kisah sama sekali. Selagi tak akur, selagi itulah penderaan jiwa dan diri terus dilakukan oleh hantu-hantu saka itu. Bila dah tak tentu hala, mau tak mau, terpaksalah pergi berubat ke sana sini – samada untuk sedia menerima ataupun pergi buang. Yang buang ni, banyak yang gagal!

Walau bagaimanapun, kita tak boleh nak salahkan nenek moyang kita. Semasa zaman mereka, pendamping sangat-sangat diperlukan untuk meneruskan hidup – baik dari segi mencari rezeki mahupun keselamatan diri dan keluarga. Cuma silapnya mereka ialah perjanjian dengan jin setan itu bukan setakat diri dan keluarga mereka ketika itu saja, malah termasuk juga kita: zuriat mereka yang entah di mana ketika itu – bukan setakat 7 keturunan seperti mana yang diwarwarkan oleh orang-orang tua kita.

Untuk penjelasan: khusus kepada nak bercucuk tanam, ketiadaan pendamping tidak memungkinkan kerja-kerja itu terlaksana untuk menampung keperluan hidup mereka ketika itu. Bayangkan… Sebelum bercucuk tanam, hutan yang pokok-pokoknya sebesar dua ke empat pemeluk harus ditebang – untuk menumbangkan satu pokokpun belum tentu terdaya dilakukan dalam masa sehari sebab pokok besar terasnya besar. Teras lebih keras daripada batangnya. Amat sukar untuk dikerat dengan peralatan yang ada ketika itu. Batang pula harus dikerat-kerat sepanjang yang terdaya untuk dialih ke tempat lain. Keseluruhan kerja untuk menumbang dan mengalih segala batang, dahan, ranting dan daun serta membersihkan tapak satu pokok saja memerlukan tenaga dan masa tak kurang daripada seminggu jika dibuat seorang atau berdua – itupun jika bahan makanan dah ada tersimpan, bolehlah terus buat kerja itu saja. Jika guna khidmat pendamping, mula lepas Isya hingga hampir Subuh misalnya, memadang boleh siap. Esok-lusanya dah boleh bercucuk tanam, tak lama lepas tu, dah boleh mengutip hasil. Jika anda berhadapan dengan keadaan itu, kaedah mana yang anda pilih? Saya fikir anda setuju, jalan mudah ialah guna khidmat pendamping! Oleh kerana itulah kita tak usah salahkan mereka jika kita menderita akibat perbuatan saka keturunan yang mereka tinggalkan. Kita ikhtiar dan tawakkal kepada Allah – jalan penyelesaian akan terbuka luas, insya Allah; asal saja tidak pergi ke bomoh atau ustaz yang berpendamping!

Beza saka dan jin setan selainnya

Sebenarnya, saka dan jin setan yang melata sama saja. Cuma bezanya ialah saka bermartabat tinggi, diikat melalui perjanjian dan mesti dijamu. Hingga ke tahun 2000, masih ramai yang mengadakan upacara berjamu. Sekarang ini, kalau adapun, mungkin di kampung-kampung terpencil saja. Sebabnya ialah kita kini dah tak kesah tentang kerenah saka – masing-masing kita bergelut mencari duit untuk menampung keperluan hidup ekoran sengitnya cabaran semasa. Berbaik dengan sakapun, bukan mendatang rezeki, malah terpaksa berbelanja untuk perkara-kara yang tidak mendatangkan faedah dan menjerumuskan kita kepada kemurkaan Allah!

Jin setan yang bukan dipesakai daripada nenek moyang, tidak tergulung dalam kategori saka walaupun kemampuannya menyerupai peranan saka. Contohnya ialah pendamping daripada guru yang menurunkan ilmu kepada muridnya seperti ilmu perbomohan, silat, kebal, kuat, pemanis, pelaris dan seumpamanya. Namun begitu, bila penuntut ilmu itu meninggal dunia, kebanyakan jinnya mencari badan baru – tumpuan utamanya ialah zuriat penuntut yang diminati saja. Saat itu, barulah ianya tergulung dalam kategori saka juga. Jika abaikan mereka, gangguan sebagaimana yang dilakukan oleh saka keturunan akan terjadi pada anak cucu keturunan penuntut ilmu tadi.

Tanggapan Pewaris Saka & Perkara Negatifnya

Sesetengah pewaris saka, ada yang rela dengan bangga dan sayangkan sakanya. Hampir semua mereka beranggapan bahawa saka sebagai penjaga dan penyelamat selain menggunakan saka untuk tujuan perbomohan dan memonitor hal orang lain. Saka memang mampu berbuat demikian dengan izin Allah kerana mereka bermatlamat untuk menunjuk-nunjuk kehebatan mereka kepada manusia. Pada mereka, mereka lebih bagus daripada manusia. Untuk itulah mereka beria-ia mempengaruhi manusia supaya bersikap nombor satu dalam semua perkara. Mereka jugalah yang mempengaruhi kita bersikap pemarah, bertengkar nak menang, menjatuhkan air muka seseorang di depan orang, tak amanah, banyak bohong, tak mengakui kesilapan diri sendiri, nakkan orang ikut kata, tak bertolak ansur dan tak nak dengar nasihat serta banyak lagi perkara-kara yang negatif. Orang yang begitu biasanya tidak berminat untuk melakukan ibadah kepada Allah. Ada yang waktu sihatnya warak, bila lanjut usia jadi sebaliknya – jadi nyanyuk dan tak kurang juga yang hingga sanggup main dan makan najis sendiri.

Dalam keadaan apa juapun, gangguan kesihatan oleh saka akan makin terasa sesuai dengan peredaran masa. Ianya boleh berkesudahan dengan hilang kawalan diri dan bertindak yang pelik-pelik. Yang menjadi mangsa ialah orang yang terdekat dengan kita, pada hal kita dituntut supaya berbaik-baik dan sayang menyayang sesama kita – bukan bermusuhan dan cari gadoh atau menyusahkan orang lain!

Semua itu adalah sifat tercela yang Allah murka. Berbaik dengan saka bermakna mengundang azab Allah di akhirat kelak, lebih-lebih lagi melakukan upacara berjamu, buat ancak dan mendewa-dewakan saka, itu perbuatan syirik! Perasankah anda bahawa hampir semua pembela saka tidak ada yang hidup mewah walaupun ada banyak harta? Soalannya kenapa? Jawabannya ialah kerana Allah murka sebab menduakanNya! Biasanya orang yang bersaka, ibadah kepada Allah dianggap ringan dan kerana itu ramai yang mengabaikan solat ketika dah nak hampir penghujung umur.

Sedikit Nasihat

apa itu saka & ayat pendinding

Lupakan ayat & doa pendinding, jika dah kena, lebih baik berubat ke perawat Islam yang pakar

Dah jelas apa itu saka dan perkara negatifnya, jika anda bermasalah saka dan sayangkan diri – terutamanya tentang keadaan anda di alam akhirat kelak, berusahalah pergi buang saka dalam diri anda. Jika setakat mengamalkan ayat-ayat, saka tak akan terusir keluar sebab ianya makin jadi kebal dengan ayat-ayat yang pernah anda baca dari hari pertama. Jika anda baca beribu bilangannyapun, paling-paling hantu saka tu terpelanting keluar waktu itu tetapi akan masuk balik sebaik ada peluang. Silalah berubat di tempat yang perawatnya tidak menggunakan khidmat pendamping (sila klik untuk tahu ciri-cirinya) dan kaedahnya bukan hanya membaca ayat atau ruqyah semata. Cara itu positif tak akan berjaya mengusir jin setan saka atau hantu saka semuanya sebab jin saka berderajat tinggi dan tentunya memiliki ilmu bertaraf tinggi juga – itu yang susah nak selesaikan masalah saka tu!

Untuk pengetahuan, kaedah kami menarik jin keluar daripada badan pesakit dah banyak membantu menyelesaikan masalah saka yang hebat-hebat. Namun demikian, kami tak sebagus manapun. Yang paling gagah hanya Allah! Kami tak janji sekali boleh selesai. Hajat kami nak buat sekali saja sebab nak tengok hantu selalu bukannya cantik sangatpun. Berminat nak cuba, sila telifon kami (bukan SMS ya) untuk buat temujanji.

Semuga maklumat tentang apa itu saka, saka keturunan dan jenis saka yang saya paparkan tadi lebih mencerahkan fahaman anda tentang maksud saka dan perkara-perkara negatifnya. Lupakan niat mempelajari sesuatu ilmu berkaitan dengan khidmat jin setan dan membela saka – nanti tua jadi nyanyuk dan main kotoran termasuk najis sendiri.

Sama juga halnya dengan mengamalkan sesuatu ayat al-Quran yang dikutip daripada kitab-kitab ugama, youtube, facebook, whatsapp, tiktok dan lain-lain. Positif anda akan didampingi oleh jin setan kerana itu semua bukan diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Nabi kita mengajarkan al-Quran supaya kita umatnya sejahtera di dunia dan akhirat, bukannya untuk kegunaan dunia! Itu yang jin setan dapat mencelah masuk ke dalam badan si pengamal! Nak bergurupun anda kena tengok-tengok orangnya dulu sebelum mempelajari daripada dia. Hati-hati ya! Itu pesan saya untuk anda supaya selamat!

Yang paling baik ialah setiap kali ada masa lapang, bacalah al-Quran – tak perlu banyak, asalkan baca! Sebelum mula, hadiahlah al-Fatihah sekali kepada nabi kita – ini syarat utama sebab al-Quran disalurkan melalui dia. Setiap kali selesai, berdoa supaya selamat di dunia dan akhirat, akhiri dengan selawat 7x. Jika sanggup, amalkan selawat 100x sehari. Insya Allah, Allah akan lapangkan hidup anda dalam semua perkara. Ramai yang akan berbaik dengan anda – kurang masalah keduniaan! Kalau tak percaya, sila cuba hingga 40 hari. Anda akan tau sendiri.

Ketika berdoa, nada suara mesti lembut dan merayu dengan penuh harap. Ini sesuai dengan syarat berdoa yang terpapar dalam ayat 55 dan 56 surah al-A’raf. Jangan guna kalimat TUHANKU sama sekali. Tuhan tu bermaksud ketua dewa. Nama Allah ada 99, tukarlah kepada mana-mana satu daripada 99 nama Allah yang sesuai dan disukai!

Sila ambil manfaat mana yang sesuai! Wallahu a’lam.

 

Dikemaskini pada 3hb Mei 2022